Menurut laporan Prosi­ding Akademi Kebangsaan Sains (PNAS), pencairan Antartika setakat ini menaikkan paras laut global lebih 1.4 sentimeter antara 1979 dan 2017.

Ketua kajian itu, Eric Rignot yang juga Pengerusi Sains Sistem Bumi di Universiti California, Irvine berkata, kadar pencairan tersebut dijangka akan membawa peningkatan paras laut yang membinasakan pada masa hadapan.

“Lapisan ais Antartika terus mencair dan kita jangkakan kenaikan beberapa meter paras laut dari Antartika dalam tempoh beberapa abad yang akan datang,” kata Rignot.

Kajian sebelum ini mengandaikan, paras air laut meningkat sehingga 1.8 meter menje­lang 2100 dan menurut saintis, beberapa bandar di tepi pantai yang dihuni jutaan penduduk bakal dinaiki air.

Mengikut kajian terkini, penyelidik memulakan penilaian ais besar-besaran di Antartika di 18 wilayah geografi.

Secara purata sebanyak 40 bilion tan ais setahun hilang dari 1979 hingga 1990 manakala dari 2009-2017 pula menyaksikan peningkatan kepada 252 bi­lion tan setahun.

“Sektor ‘The Wilkes Land’ di Antartika Timur secara keseluruhannya menjadi subjek pen­ting pencairan ais yang banyak sejak 1980-an lagi,” kata Rignot.

Tambah Rignot, sektor itu berkemungkinan lebih sensitif kepada perubahan iklim dan amat penting untuk diketahui kerana mempunyai lebih banyak ais berbanding Antartika Barat dan Semenanjung Antartika.

Jumlah keseluruhan ais di Antartika, jika kesemuanya cair sudah cukup untuk meningkatkan paras laut sehingga 57 meter. – AFP