Ibadah yang dianggap rukun terpenting dalam ibadah haji itu bermula selepas waktu zuhur (tergelincir matahari) iaitu pada pukul 12.18 tengah hari (5.14 petang waktu Malaysia).

Sepanjang tempoh berwukuf, jemaah banyak melakukan amalan seperti solat sunat, berzikir, bertalbiah dan membaca al-Quran.

Selepas solat asar, jemaah mula keluar dari khemah masing-masing dan mencari kawasan lapang dan duduk bersendirian untuk berdoa. Dikatakan waktu tersebut sehingga waktu Maghrib adalah waktu paling mustajab untuk berdoa.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sejak pukul 2 pagi (pukul 7 pagi waktu Malaysia) surau di khemah-khemah jemaah Malaysia dipenuhi aktiviti qi­amullail dan program ibadah yang disusun oleh Bahagian Bimbi­ngan Haji Lembaga Tabung Haji.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom me­nyampaikan khutbah Arafah di salah sebuah maktab penginapan jemaah Malaysia.

Sebelum itu, beliau yang diiri­ngi Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meninjau keadaan jemaah Malaysia yang ditempatkan di 2,000 khemah.

Malam ini, kesemua jemaah Malaysia bergerak ke Muzdalifah untuk bermalam sebelum ke Mina bagi melaksanakan ibadah melontar.– UTUSAN