Pihak tentera memaklumkan, antara yang terkorban ialah lima anggota tentera dan dua pegawai polis manakala 33 lagi cedera selepas kumpulan militan berkenaan menyerang pasukan tentera dan penjara yang dikawal pihak polis.

Kumpulan tersebut turut me­lan­carkan serangan bom dan melakukan penculikan di selatan wilayah Mindanao itu.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jo-ar Herrera berkata, seramai 13 anggota kumpulan itu berjaya dibunuh namun hanya dua mayat ditemukan.

Dalam pada itu, pasukan tentera negara ini memperhebatkan serangan ke kawasan dikuasai kumpulan militan itu termasuk melancarkan serangan udara dan percaya hanya tinggal 40 lagi anggota itu yang masih bersembunyi di bandar berkenaan.

“Operasi menyasarkan seku­rang-kurangnya tiga kampung de­kat bandar dan kami menggesa penduduk kampung meninggalkan kediaman masing-masing dan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang kehadiran anggota militan ini,” katanya.

Herrera berkata, pihak tentera mahu menamatkan pertempuran itu secepat mungkin.

Beliau menambah, anggota mi­litan itu dipercayai berkeliaran dan bersembunyi dalam bangunan di bandar ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pada Selasa lalu, media tempatan menyiarkan gambar dua kenderaan yang melalui jalan raya di bandar Marawi sambil mengibarkan bendera hitam yang mempunyai lambang kumpulan pengganas Daesh. – Bernama.