Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr. Amnuay Kajina berkata, seorang yang meinggal dunia itu adalah wanita.

Tahun lalu, seramai 56 orang dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba dengan kebanyakan mereka merupakan pekerja buruh.

“Cuaca di sesetengah kawasan meningkat melebihi 40 darjah Celsius dan jika badan manusia tidak dapat menahan suhu tersebut, mereka akan jatuh sakit dan mati akibat strok haba,” katanya.

Menurutnya, antara simptom strok haba adalah sakit kepala, pitam, sawan, sesak nafas, degupan jantung yang tidak stabil dan jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan kematian.

Amnuay berkata, antara orang yang berisiko mengalami strok haba adalah mereka yang bekerja di luar bangunan atau melakukan aktiviti di bawah cahaya matahari terik, kanak-kanak di bawah umur lima tahun, pesakit darah tinggi dan mereka yang mengalami masalah obesiti.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai memakai baju berwarna cerah, duduk di rumah, minum air masak dalam jumlah yang banyak dan mengelak melakukan aktiviti luar yang boleh mendedahkan diri kepada risiko strok haba.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi berkata, suhu paling tinggi setakat ini dicatatkan di bahagian utara negara ini di Mae Hong Son iaitu 41 darjah Celsius.

Dalam perkembangan sama, Lembaga Janaan Elektrik (EGAT) memaklumkan bahawa ekoran cuaca panas melampau, penggunaan elektrik di negara ini turut meningkat, berikutan orang ramai kerap menggunakan penghawa dingin iaitu meningkat kepada 29,403 Megawatts.