Dalam kejadian yang berlaku pukul 3.20 pagi waktu tempatan pada hari pertama rombongan tiba di Colombo itu dipercayai terlanggar objek keras sebelum meletup.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, mujur kenderaan berjaya dikawal dan tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa kepada semua peserta terlibat.

“Syukur kejadian berlaku ketika kita masih di kawasan petempatan orang ramai, kerana perjalanan dari Colombo ke Kinniya mengambil masa lebih enam jam dan perlu melalui kawasan safari iaitu lokasi haiwan liar berkeliaran. Jika tidak, akan lebih berisiko.

“Inilah antara cabaran yang sering kita dihadapi untuk menyampaikan bantuan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia secara terus kepada penerima di negara terpilih,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bas yang membawa sukarelawan IAM, peserta korban dan media Malaysia termasuk Utusan Malaysia itu bagaimanapun dapat dibaiki dengan bantuan rakan pemandu bas dan pekerja di stesen minyak berhampiran lokasi kejadian.

Program Ziarah Korban IAM pada tahun ini memilih Sri Langka sebagai negara ibadah korban dengan melibatkan sebanyak 130 haiwan korban termasuk lembu, kerbau dan kambing.

Dalam pada itu, Zawahir berkata, pihaknya memilih Daerah Kinniya, Sri Langka melihat kepada permintaan penduduknya yang rata-rata beragama Islam dan memerluan bantuan.

“Daging korban akan diagihkan kepada Muslim sekitar Kinniya dengan mengutamakan golongan asnaf dan kurang berkemampuan. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban penerima di samping memenuhi hajat peserta ibadah korban agar diagihkan kepada golongan sasar,” katanya. - UTUSAN ONLINE