Sekurang-kurangnya 27,400 etnik Islam Rohingya dipercayai sudah melarikan diri ke Bangladesh bagi mengelak keganasan di Myanmar manakala 20,000 penduduk lagi terdampar di kawasan terpencil di sempadan antara kedua-dua negara dengan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Myanmar pada masa sama turut memindahkan ribuan penduduk Buddha dari negeri bergolak Rakhine, dengan pertempuran antara pejuang Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) dan pasukan keselamatan meragut nyawa sekurang-kurangnya 117 orang.

Komander pasukan pengawal sempadan Bangladesh, Ariful Islam berkata, mayat 11 orang kanak-kanak dan sembilan wanita Rohingya ditemukan terdampar di tebing Sungai Naf di kawasan Bangladesh.

Ariful berkata, mayat dua wanita Rohingya dan dua kanak-kanak ditemukan semalam selepas bot mereka ditembak polis pengawal sempadan Myanmar.

Bangladesh semalam mengarahkan sebanyak 366 etnik Rohing­ya yang cuba memasuki negara ini dengan bot kecil berpatah balik ke­tika ribuan penduduk membina khemah sementara sepanjang sempadan antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, kebanyakan etnik Rohingya yang berjaya menyusup masuk ke Bangladesh sejak Jumaat lalu didapati sakit dengan ada antaranya mempunyai luka tembakan.

Di daerah sempadan Bangladesh di Cox’s Bazar, kem penempatan sementara yang dibina untuk pelarian Rohingya sebelum ini sedang diperbesarkan.

Seorang pelarian yang baru sampai, Mohammed Rashid, 45, yang memakai balutan luka pada matanya berkata, dia mengalami kecederaan itu selepas tentera Myanmar melepaskan tembakan ke atas kumpulan pelarian Rohingya.

Rashid berkata, dia bersama kira-kira 100 orang pelarian yang dalam perjalanan ke sempadan diserang tentera dan melihat letupan dengan ada antara penduduk yang cedera.

“Kami bersembunyi di dalam hutan selama dua hari sebelum kami ditahan di sempadan dan kami dibenarkan melaluinya. Kami juga dimaklumkan rumah di kampung kami telah dibakar,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kum­pulan pemantau Rohingya dari Arakan Project, Chris Lewa berkata, Myanmar dilihat sedang cuba mengusir sepenuhnya etnik Rohing­ya dari negara itu dengan penduduk Rakhine Buddha semakin aktif terlibat membakar kampung penduduk Rohingya.

“Apa yang kami dengar sekarang adalah kebakaran, kebakaran, kebakaran dan ia nampaknya semakin merebak daripada selatan hingga utara,” katanya. – REUTERS