Kes itu mengundang kemarahan dan bantahan masyarakat antarabangsa kerana menyerang kebebasan media terutamanya dalam menyekat laporan tentang kezaliman tentera ke atas etnik Islam Rohingya di negeri Rakhine.

Hakim mahkamah daerah di utara Yangon, Ye Lwin berkata, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, melanggar Akta Rahsia Rasmi era penjajah ketika mereka me­ngumpul dan memperoleh dokumen rahsia.

“Kedua-dua tertuduh didapati melanggar seksyen 3.1.c, Akta Rahsia Rasmi dan disebabkan itu mereka dihukum penjara selama tujuh tahun.

“Oleh kerana kedua-dua defendan ditahan sejak 12 Disember lalu, mahkamah akan mengambil kira tempoh berkenaan,” kata hakim.

Aktivis kebebasan media, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia menggesa supaya kedua-dua wartawan itu dibebaskan.

“Hari ini merupakan hari yang sedih bagi Myanmar, wartawan Reuters, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dan media di mana juga.

“Kami tidak akan menunggu ketika Wa Lone dan Kyaw Soe Oo menderita akibat ketidakadilan ini dan akan menilai bagaimana untuk meneruskan hari-hari be­ri­kutnya termasuk sama ada men­cari bantuan daripada forum antarabangsa,” kata Ketua Penga­rang Reuters, Stephen J Adler da­lam satu kenyataan.

Kedua-dua wartawan itu memberitahu mahkamah bahawa dua anggota polis menyerahkan bebe­rapa dokumen kepada mereka di sebuah restoran di utara Yangon, sebelum ditahan pihak berkuasa.

Namun seorang saksi polis memaklumkan bahawa ia adalah satu helah untuk memerangkap kedua-dua wartawan itu bagi menghalang atau menghukum mereka atas laporan mereka berhubung pembunuhan beramai-ramai etnik Islam Rohingya.

“Saya tidak takut. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya percaya kepada keadilan demokrasi dan kebebasan,” kata Wa Lone.

Keputusan itu bermakna Wa Lone dan Kyaw Soe Oo, kedua-duanya mempunyai anak perempuan kecil dan tidak pernah melihat keluarga mereka sepanjang proses perbicaraan berlangsung selama sembilan bulan kerana ditahan di penjara.

Kyaw Soe Oo mempunyai anak perempuan berusia tiga tahun dan isteri Wa Lone, Pan Ei Mon, baru sahaja melahirkan anak pertama mereka bulan lalu.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay enggan mengulas sepanjang perbicaraan berkenaan berlangsung dan me­ngatakan mahkamah Myanmar adalah bebas dan kes berkenaan dikendalikan mengikut undang-undang.

Duta AS ke Myanmar, Scot Mar­ciel berkata, dia amat sedih bagi pihak dua wartawan itu dan juga Myanmar.

“Kami amat kecewa dengan ke­putusan mahkamah dan PBB secara konsisten menggesa pembebasan wartawan Reuters ini dan mendesak pihak berkuasa menghormati hak mereka untuk mengamalkan kebebasan bersuara dan maklumat,” kata Penyelaras Kemanusiaan dan Resi­den PBB, Knut Otsby. – REUTERS