Dalam insiden pertama, tiga orang terbunuh, manakala 127 orang lagi cedera termasuk 85 pegawai polis dalam satu serangan bom kereta di sebuah balai polis di bandar Elaziq, timur Turki hari ini, kurang 24 jam selepas satu serangan bom serupa yang turut mengorbankan tiga orang di wilayah Van dekat sempadan Iran, semalam.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap hitam menjulang ke udara sejurus letupan itu yang mengakibatkan kerosakan teruk ke atas bangunan empat tingkat tersebut.

Menteri Pertahanan Turki, Fikri Isik mendakwa kumpulan militan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) sebagai dalang serangan itu.

“Kami akan halang PKK sebagaimana kami lakukan ke atas Organisasi Keganasan Fet­hullah (Feto),” katanya yang merujuk kepada Fethullah Gulen yang didakwa Ankara sebagai dalang dalam rampasan kuasa yang gagal bulan lalu.

PKK kerap melancarkan serangan ke atas balai-balai polis di kawasan Kurdis di tengara Turki sejak beberapa bulan lalu.

Semalam, sebanyak tiga orang terbunuh dan 40 lagi ce­dera apabila satu bom kereta meletup berhampiran sebuah balai polis di timur wilayah Van berhampiran sempadan Iran.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab me­­lakukan serangan itu.

Kebanyakan kawasan di­duduki etnik Kurdis menyaksikan peningkatan keganasan sejak gencatan senjata selama dua tahun setengah antara kerajaan dan PKK terbatal tahun lalu.

Dalam satu lagi insiden, seramai tiga askar Turki dan seorang pengawal tempatan terbunuh dalam serangan ke atas konvoi tentera Turki di bandar Bitlis di tenggara negara ini.

Menurut agensi berita Anadolu, enam lagi anggota tentera turut cedera dalam pengeboman itu yang dipercayai dilakukan kumpulan militia PKK.

Kumpulan tersebut dipercayai melempar bom tangan ketika konvoi kereta perisai tentera melalui kawasan tersebut.

Pengawal tempatan yang terbunuh dilaporkan merupakan sebahagian daripada sekumpulan penduduk tempatan yang bekerjasama dengan pasukan keselamatan Turki dalam me­merangi PKK. – REUTERS/AFP