Jurucakap DoJ menerusi satu kenyataan yang diemelkan kepada agensi berita Reuters melaporkan, jabatan tersebut komited untuk memastikan AS dan sistem kewangan negara ini tidak diancam oleh mana-mana individu dan pihak yang cuba menyembunyikan kemewahan diperoleh secara haram itu.

“Semua aset yang berjaya diperoleh semula akan digunakan untuk kepentingan rakyat selepas sekian lama mereka dibebankan dengan perilaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata kenyataan itu.

Kerajaan AS memfailkan aduan perlucutan (forfeiture complaints) pada 2016 dan 2017 untuk memperoleh semua aset bernilai AS$1.7 bilion (RM6.75 bilion) membabitkan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Aduan itu juga mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM17.87 bilion) diambil daripada 1MDB dan dilaburkan dalam beberapa syarikat serta akaun bank di AS dan beberapa negara lain.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun sebelum ini menafikan terdapat sebarang salah laku sejak skandal 1MDB mula diperkatakan pada 2015.

Najib sebelum ini turut mendakwa sejumlah AS$681 juta (RM2.9 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya adalah derma dari kerabat Diraja Arab Saudi, sekali gus menafikan tuduhan bahawa wang itu diambil daripada 1MDB. – REUTERS