Antara negeri yang terjejas teruk adalah Georgia dengan 14 kematian dan tujuh daripadanya di daerah Cook County selepas kediaman me­reka dilanda puting beliung.

Gabenor Georgia, Nathan Deal mengisytiharkan perintah darurat di semua tujuh buah daerah yang dilanda bencana itu berikutan kebimbangan akan berlaku lebih banyak ribut sekiranya angin kuat dan banjir berterusan.

“Saya minta semua warga Georgia supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan diri dan mengelak kerugian harta benda,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Sebuah gereja yang terletak di Cook County turut digunakan sebagai tempat perlindu­ngan sementara kepada segelintir pen­duduk yang hilang tempat tinggal.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan juga mengeluarkan ramalan akan berlaku banjir kilat di beberapa buah kawasan dan meminta semua penduduk sekitar Rome dan Calhoun di Georgia berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.

Sementara itu, ribut dan pu­ting beliung turut menyebabkan kemusnahan teruk kepada 480 buah rumah sekitar Mississippi selain ribuan penduduk terpaksa bergelap selepas bekalan elektrik terputus.

Di Alabama pula, sebanyak 29,000 gangguan bekalan elektrik dilaporkan tengah hari semalam. – REUTERS