Kementerian Kesihatan Congo yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan, dua kes itu juga telah disahkan melalui ujian makmal.

Seramai 21 lagi pesakit telah menunjukkan gejala demam berdarah di Ikoko Impenge, dekat bandar Bikoro, bahagian tengah negara ini, lapor portal Al-Jazeera.

Pegawai kesihatan telah mengambil contoh daripada lima kes yang disyaki berpunca daripada virus berkenaan di Bikoro, Wilayah Equateur untuk diuji di Institut National de Recherche Biomedicale, Kinshasha.

Sekurang-kurangnya 17 kematian di wilayah itu berlaku sejak lima minggu lalu dan disyaki mempunyai kaitan de­ngan penularan virus itu tetapi masih belum disahkan sebagai kes Ebola.

“Negara kami kini mengalami satu lagi epidemik virus Ebola yang mencetuskan darurat kesihatan, umum antarabangsa,” lapor kementerian tersebut.

Kementerian itu turut memberitahu pihaknya telah menghantar kumpulan pakar ke kawasan terbabit mengawal wabak berkenaan.

Wabak Ebola yang masih belum ditemukan penawar­ itu telah membunuh lebih 11,300 orang di Afrika Barat dari 2013-2016 selepas melanda Guinea, Sierra Leone dan Liberia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan pihaknya telah mene­rima pengesahan tentang wabak berkenaan daripada para pegawai di Congo selepas dua daripada lima contoh yang dianalisis di Kinshasha didapati positif Ebola.