Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar 12 mayat dari lombong Odakoy, berhampiran bandar Dursunbey, manakala lima pelombong lain mati akibat kecederaan teruk, kata Gabenor wilayah Balikesir di barat laut Turki, Yilmaz Arslan kepada rangkaian NTV.

"Tidak ada lagi pelombong yang terperangkap di dalam lombong dan gerakan mencari telah dihentikan," katanya lagi.

Seramai 46 orang pelombong sedang bekerja dalam lombong itu ketika metana terbakar pada pukul 15.30 GMT (11.30 malam tadi waktu Malaysia) di kedalaman 250 meter, kata pegawai syarikat perlombongan itu kepada agensi berita Anatolia.

"Rakan-rakan kami yang berada dekat pintu masuk lombong berjaya keluar dengan selamat," kata Erhan Ortakoylu. Sepuluh daripada mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Menurut Anatolia, seramai 17 orang terbunuh di lombong yang sama dalam kejadian pada tahun 2006.

Kejadian letupan dan runtuhan sering berlaku di lombong-lombong di Turki, terutama di lombong-lombong yang dikendalikan pihak swasta, yang mana tahap peraturan keselamatannya terlalu rendah.

Pada Disember lalu, 19 orang pekerja terbunuh apabila lombong arang batu di wilayah Bursa di barat laut Turki runtuh selepas pekerja meletupkan dinamit di lombong itu. - AFP