Agensi berita Anadolu melaporkan, bas membawa rakyat Iran, Pakis­tan dan Afghanistan itu merempuh tiang lampu sebelum terbakar di lebuh raya Igdir-Kars.

Gambar yang disiarkan media Turki menunjukkan kepulan asap dari bas yang terbakar itu sementara puluhan mangsa terbaring di jalan raya de­ngan berlumuran darah.

“Selepas tiba di lokasi nahas, kami mengenal pasti kesemua mangsa adalah pendatang asing. Kami amat sedih dengan penyeludupan kerap pendatang di wilayah ini yang berakhir dengan tragedi,” kata Gabenor Wilayah Igdir, Enver Unlu kepada media di lokasi kejadian.

Pegawai kesihatan berkata, beberapa mang­sa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Menurut laporan Anadolu, bas itu mempunyai kapasiti untuk 14 orang tetapi memuatkan lebih 50 penumpang termasuk wanita ketika kejadian berlaku.

Pendakwa raya Igdir telah membuka siasatan ke atas insiden itu sementara pihak berkuasa berusaha mengenal pasti pemandu bas berkenaan.

Dalam pada itu, seramai 13 pendatang haram yang menaiki bas berbeza ditahan oleh pasukan ke­selamatan ketika menuju ke lokasi sama. – AFP