Penemuan yang direkodkan menerusi Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) itu didedahkan dalam satu laporan hari ini.

Antara spesies unik yang dijumpai termasuklah ular kepala berwarna pelangi dan cicak yang kelihatan seperti seekor naga.

Turut ditemukan ialah spesies cicak gecko dengan kulit berwarna biru pudar di Laos serta spesies pisang pelik di utara Thailand ekoran penebangan hutan yang berleluasa di situ.

Wilayah Greater Mekong dihuni lebih 300 juta penduduk dari enam buah negara iaitu Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam dan wilayah Yunnan di China.

Kawasan itu sering menjadi tumpuan kerana menempatkan sebahagian daripada pelbagai spe­sies hidupan liar terancam dari seluruh dunia.

Antara spesies yang sering terancam di Greater Mekong terma­suklah harimau dan badak sumbu kerana anggota badan haiwan itu dikatakan menjadi buruan untuk dibuat koleksi barangan eksotik atau digunakan dalam perubatan tradisional.

Dalam pada itu, Pengurus Program Hidupan Liar untuk WWF-Greater Mekong, Jimmy Borah berkata, penemuan ratusan spe­sies baharu itu memberi gambaran bahawa masih ada harapan untuk menyelamatkan pelbagai haiwan eksotik di wilayah berke­naan.

“Wilayah Greater Mekong mengingatkan kita bahawa terdapat banyak lagi spesies menakjubkan di kawasan yang belum diterokai untuk dipelihara sebelum berlakunya kepupusan,” katanya.

Berdasarkan laporan WWF tahun ini, populasi global untuk pelbagai spesies ikan, burung, amfi­bia, mamalia dan replitia dijangka berkurangan kepada dua pertiga dalam tempoh 50 tahun kira-kira empat tahun lagi. – REUTERS