Tiada maklumat rasmi dike­luarkan mengenai punca sebenar nahas di LeFlore County, yang terletak kira-kira 160 kilometer di utara bandar Jackson.

Pengarah Pengurusan Kecemasan LeFlore County, Fred Randle, memberitahu Reuters bahawa sekurang-kurangnya 16 orang yang berada di dalam pesawat milik tentera marin AS KC-130 Hercules terbunuh tetapi tidak memberikan butiran lanjut tentang kejadian tersebut.

Menurut akhbar The Clarion-Ledger, pesawat yang biasanya digunakan untuk membawa kargo dan melakukan pengisian bahan bakar di udara serta melaksanakan misi taktikal, terhempas di sebuah ladang kacang soya berhampiran Sunflower-Leflore.

Berdasarkan laman sesawang Tentera Laut AS, menyatakan pesawat berkenaan dikendalikan oleh tiga anggota krew dan boleh membawa 92 tentera darat atau 64 pasukan payung terjun.

Stesen televisyen WSOC-TV di Charlotte memetik Pentadbiran Penerbangan Persekutuan sebagai berkata, pesawat tersebut berlepas dari Cherry Point di North Carolina, di mana pangkalan udara Marine Corps terletak.

Sementara itu, jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Brett Carr memberitahu akhbar New York Times, agensinya telah menghantar pegawai ke tempat kejadian, tetapi pihak berkuasa percaya insiden itu bukan berpunca daripada perbuatan khi­anat.

Gabenor Mississippi Phil Bryant dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, insiden tersebut adalah satu tragedi, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Gambar kejadian yang di­siarkan secara dalam talian oleh organisasi berita menunjukkan bangkai pesawat yang musnah terbakar di kawasan padang tumbuhan dengan kepulan asap memenuhi ruang udara. – REUTERS