Pengarah Kumpulan Hak Asasi Kesihatan Codevida, Francisco Valencia berkata, terdapat 15 kematian pada Jumaat dan semalam kerana pesakit buah pinggang tidak dapat menjalani rawatan.

“Masalah gangguan bekalan elektrik menyukarkan pesakit buah pinggang, kritikal. Kita bercakap tentang 95 peratus unit dialisis dan hari ini mungkin 100 peratus kerana gangguan bekalan elektrik,” katanya.

FRANCISCO VALENCIA
FRANCISCO VALENCIA 

Beliau turut memberi amaran terdapat lebih 10,200 pesakit buah pinggang di seluruh negara yang perlu menjalani rawatan dialisis berisiko maut berikutan masalah tersebut.

Sejak Khamis lalu, Venezuela mengalami gangguan bekalan elektrik yang paling teruk dalam sejarah negara pengeluar mi­nyak tersebut.

Sementara itu, al-Jazeera melaporkan, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berkata, gangguan bekalan elektrik itu disebabkan serangan siber antarabangsa tetapi pentadbirannya telah berjaya mengalahkan rampasan kuasa.

Gangguan bekalan elektrik dan komunikasi yang masih berterusan sehingga kini itu menambah derita kepada negara yang sebelum ini telah lumpuh akibat krisis ekonomi dan politik.

Dalam pada itu, seorang pakar bedah kecemasan di Hospital Perez Carreno, Lorelei Gorrin berkata, dia baru saja menyelesaikan salah satu syif paling sukar dalam hidupnya.

“Saya tidak berhenti mene­rima pesakit. Kami hanya boleh merawat mereka yang mempunyai masalah mengancam nyawa sahaja. Jana kuasa berfungsi tetapi saya bimbang jika tiba-tiba berhenti. Kita tidak tahu bila bekalan elektrik akan terpadam lagi dan bagaimana untuk menguruskannya,” katanya. – AFP/AGENSI