Jumlah tersebut disahkan oleh Perdana Menterinya, Roosevelt Skerrit, sekali gus menyaksikan angka kematian akibat Taufan Maria meningkat kepada sekurang-kurangnya 32 orang di seluruh Caribbean.

Taufan Maria melanda negara kecil itu sebagai Taufan Kategori 5 pada lewat malam Isnin lalu, memusnahkan beratus-ratus rumah dan memutuskan sistem komunikasi dan pengangkutan pulau pergunungan itu sebelum diturunkan kepada Taufan Kategori 4 awal pagi semalam.

Skerrit dilaporkan terpaksa di­selamatkan semasa bencana alam tersebut melanda, yang turut menerbangkan bumbung kediamannya di pulau itu.

“Republik Dominica amat memerlukan semua bantuan yang dapat ditawarkan oleh dunia. Kita perlu bergabung kuasa untuk menggerakkan bantuan kepada seluruh penduduk dan memerlukan sokongan setiap individu, institusi dan organisasi,” katanya.

Keadaan dilaporkan bertambah buruk apabila kedua-dua lapangan terbang utamanya musnah teruk dan masih ditutup, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat serta penghantaran dan pengagihan bantuan kemanusiaan.

Menurut Skerrit dalam laman Facebooknya, angin kencang serta banjir besar akibat taufan tersebut telah menjejaskan semua penduduknya yang berjumlah 72,000 orang dan memusnahkan sebahagian besar negara kecil itu.