Tentera Israel menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata terhadap penduduk Palestin.

Rejim Zionis mendakwa mereka terpaksa menggunakan cara sedemikian bagi mempertahankan pagar sempadan selepas penunjuk perasaan membaling batu dan membakar tayar.

Menurut pasukan perubatan Gaza, mereka yang terbunuh ialah tiga orang lelaki dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun.

Tambah pasukan perubatan, daripada 620 orang yang terce­dera, 120 da­ripadanya terkena peluru hidup.

Insiden terbaharu itu menjadikan angka korban penduduk Palestin meningkat kepada 124 orang sejak protes dijalankan sejak 30 Mac lalu di sempadan Gaza-Israel.

Sementara itu, Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour mengutuk pembunuhan dilakukan oleh rejim Zionis semalam.

Susulan insiden yang berlaku semalam, Riyad menyatakan wakil-wakil Kumpulan Negara-negara Arab serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membuat permohonan kepada Perhimpunan Agung PBB untuk menyambung semula sesi tergempar bagi membincangkan resolusi yang bertujuan melindungi penduduk Palestin.

Dalam pada itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Miroslav Lajcak mengesahkan akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Rabu depan bagi mengundi resolusi berkenaan.

“Kita akan memastikan re­solusi itu mendapat majoriti undi yang diperlukan,” kata seorang diplomat yang tidak didedahkan identitinya, yang menyokong resolusi terbabit. 
- AFP/REUTERS