Kejadian berlaku pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan ketika kira-kira 15,000 pengunjung me­raikan festival itu di Kuil Puttingal Devi di bandar Paravur.

Rakaman televisyen menyiarkan beberapa siri letupan besar dan bunga api serta asap yang memenuhi udara, manakala mereka yang cedera juga dilihat tiba di hospital menggunakan kereta dan ambulans.

Menurut Ketua Menteri Kerala, Oommen Chandy, pihak berkuasa kuil terlibat mengadakan persembahan bunga api itu walaupun tidak mendapat kebenaran berikutan masalah keselamatan.

Katanya, mereka mengingkari arahan yang melarang pertan­dingan bunga api yang merupakan tradisi sempena Festival Tuhan Kali yang berlangsung selama tujuh hari.

Kerajaan India telah mengarahkan siasatan terhadap kejadian itu sementara pegawai kanan polis memberitahu, kebakaran disyaki berpunca daripada percikan api yang terkena deretan bunga api yang telah diatur di kawasan terbuka untuk persembahan.

Perdana Menteri, Narendra Modi yang melahirkan rasa terkejut terhadap bencana itu berkejar ke tempat kejadian bersama-sama pasukan perubatan termasuk 15 doktor.

Menteri Dalam Negeri, Ramesh Chennithala yang berada di tempat kejadian mengesahkan 40 mayat telah dikenal pasti. – AFP