Dua letupan berlaku awal pagi ini di sebuah resort di Hua Hin di bahagian selatan negara ini iaitu kira-kira 200 kilometer dari Bangkok, beberapa jam selepas dua letupan menyebabkan seorang terbunuh dan 21 lagi cedera lewat malam semalam.

Jurucakap polis, Kolonel Kri­sana Pattanacharoen berkata, seorang maut dan tiga lagi cedera dalam letupan awal pagi ini dekat menara jam Hua Hin.

Dua letupan kecil belaku di pantai peranginan Patong di Pulau Phuket menyebabkan seorang lelaki tempatan cedera ringan dan dua lagi letupan di Phang-Nga, sebuah lagi pusat peranginan di bahagian selatan.

Walau bagaimanapun, seorang lagi jurucakap polis, Piyapan Pingmuang menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan serangan pengganas sebaliknya menegaskan kejadian itu adalah perbuatan sabo­taj oleh penduduk tempatan.

“Tiada serangan pengganas, hanya tindakan sabotaj. Kami masih belum pasti kumpulan yang bertanggungjawab terhadap kejadian ini,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kejadian itu dilakukan oleh kumpulan pemberontak di selatan Thailand.

Pihak polis telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota untuk meningkatkan kawalan keselamatan di pejabat-pejabat kerajaan, kawasan bersejarah, lapangan terbang, pusat pelancongan, terminal bas, restoran serta kawasan tumpuan orang ramai.

Media tempatan turut mela­porkan beberapa kejadian kebakaran di wilayah selatan namun masih tidak dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan de­ngan letupan tersebut.

Hua Hin menempatkan Istana Diraja Klai Kangwon yang sering dikunjungi Raja Bhumibol Adul­yadej dan Permaisuri Sirikit.

Hari ini merupakan cuti umum di Thailand sempena ulang tahun kelahiran Permaisuri Sirikit.

Kejadian letupan itu berlaku beberapa hari selepas rakyat Thailand bersetuju menerima Perlembagaan baharu yang turut disokong pihak tentera dalam pungutan suara baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha menggesa pihak berkuasa supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan awam dan tumpuan pelancong susulan beberapa siri serangan bom itu.

Beliau mengeluarkan arahan kecemasan kepada pihak berkuasa yang berkaitan bagi mengelak insiden itu berulang.

Polis Thailand turut mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden itu.

Sementara itu, polis memaklumkan mengenai penahanan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung serangan bom berkenaan. – AFP/REUTERS/BERNAMA