Menurut agensi berita Xinhua, antara mangsa yang ce­dera termasuklah empat kanak-kanak dan sembilan wanita.

Tiga daripada mangsa ber­kenaan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak tentera rejim Zio­nis pada bahagian kepala.

Meskipun berdepan cuaca panas ketika bulan Ramadan, ia tidak mematahkan sema­ngat penduduk Palestin untuk terus mengadakan protes di timur sempadan Genting Gaza.

Lebih 120 orang penduduk Palestin telah terkorban manakala beribu lagi cedera sejak protes dikenali sebagai Great March of Return dilancarkan pada 30 Mac lalu.

Penduduk Palestin menuntut hak untuk pulang ke tanah air mereka yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel sejak Mei 1948.

Langkah itu terpaksa diambil berikutan kesulitan hidup di Gaza serta ancaman yang di­timbulkan oleh pihak berkuasa Israel terhadap identiti Baitulmuqaddis.

Penganjur Great March of Return telah berulang kali menyeru masyarakat antarabangsa agar melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang me­negaskan tentang hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. – BERNAMA/AGENSI