Agensi berita Xinhua memetik pegawai Palang Merah Libya, al-Khamis al-Bosefi sebagai berkata, semua mayat berkenaan ditemukan anggota pasukan mencari dan menyelamat susulan beberapa kejadian bot karam melibatkan pelarian sejak minggu lalu.

Katanya, pegawal pantai tidak menjalankan rondaan berikutan cuaca buruk sepanjang minggu ini.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Zwarah mengutuk kegagalan institusi tertentu serta sikap masyarakat antarabangsa sebagai punca menyumbang kepada krisis pelarian global.

Lebih 40,000 pelarian dilapor menyeberangi Laut Mediterranean dari negara-negara bergolak terutama di Asia Barat untuk ke Eropah tahun ini sahaja.

Menurut Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), sekurang-kurangnya 880 pelarian lemas pada minggu lalu dan minggu ini dalam perjalanan mereka ke Eropah.

Libya menjadi pilihan pelarian untuk ke Eropah disebabkan kawalan keselamatan yang longgar susulan konflik di negara ini.

Dalam kejadian berasingan, lebih 250 pelarian berjaya diselamatkan di perairan Pulau Crete, Greece hari ini selepas bot yang mereka naiki karam ketika ope­rasi menyelamat masih dijalankan bagi mencari mangsa lain.

Pengawal Pantai Greece berkata, bot itu merupakan yang kedua ditemukan mereka sejak minggu lalu menunjukkan sindiket pemerdagangan manusia mempunyai laluan baharu untuk ke negara berkenaan.

Katanya, sekurang-kurangnya empat buah kapal yang melalui perairan itu turut membantu menyelamatkan mangsa yang dijangka diturunkan di Crete. – BERNAMA/AFP