Lapor al-Jazeera memetik ken­yataan dikeluarkan MSF sebagai berkata, sepasang kembar berusia 17 bulan serta kedua-dua ibu bapa mereka merupakan antara yang terkorban.

Dua buah bot berkenaan belayar dari pantai Libya pada 1 September, setiap satunya membawa pendatang dari Sudan, Mali, Nigeria, Cameroon, Ghana, Libya, Algeria dan Mesir.

Menurut MSF memetik mangsa yang terselamat sebagai berkata, sebuah bot mengalami masalah enjin manakala sebuah lagi mula mengempis.

Ada beberapa mangsa yang terselamat berpaut pada bangkai bot. Ramai mangsa dibawa ke Pelabuhan Khoms, Libya pada 2 September oleh pengawal pantai.

“Ketika bot pertama berhenti kerana kegagalan enjin, bot kami terus belayar dan mula mengempis sekitar pukul 1 petang. Terdapat 165 orang dewasa dan 20 kanak-kanak di atas bot,” kata seorang mangsa yang tidak didedahkan identitinya kepada MSF.

Tambah mangsa berkenaan, ketika kejadian, petunjuk telefon bimbit menunjukkan mereka tidak jauh dari pantai Malta.

Mereka dilaporkan cuba me­minta bantuan daripada pengawal pantai Itali, tetapi bot berkenaan telah mula tenggelam sebelum pihak berkuasa tiba.

“Kami tidak boleh berenang dan hanya beberapa orang sahaja mempunyai jaket keselamatan. Ada antara kami yang berpaut pada bangkai bot masih hidup,” kata mangsa tersebut.

Ujar MSF, mereka merawat mangsa yang mengalami kesan terbakar akibat tumpahan minyak petrol enjin bot.

“Pasukan perubatan kami bekerja keras selama beberapa jam untuk membantu mangsa yang terselamat tetapi mengalami kecederaan serius,” kata jururawat MSF, Jai Defranciscis yang bekerja di Misrata, barat laut Libya.