Menurut pihak berkuasa, lima yang lain pula dilaporkan masih hilang, dipercayai dihanyutkan arus deras di Raganello Gorge yang terkenal sebagai lokasi aktiviti trek akuatik.

Ketua Jabatan Perlindungan Sivil Calabria, Carlo Tansi memberitahu, seramai 23 orang di­selamatkan dan tujuh daripada mereka cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami hypothermia.

Namun, pihaknya belum pasti jumlah sebenar mereka yang masih hilang dengan sekurang-kurangnya 36 pendaki sedang melakukan aktiviti lasak di kawasan gaung berkenaan ketika kejadian.

“Mereka ini terbahagi kepada dua kumpulan yang melakukan aktiviti trek di kawasan gaung tersebut,” katanya kepada agensi berita Sky TG24.

Sementara itu, salah seorang anggota penyelamat, Luca Fran­zese berkata, kawasan gaung itu dinaiki air setinggi dua meter.

Jelasnya, kawasan gaung itu yang cukup popular dalam kala­ngan pelancong kebiasaannya dinaiki air ketika musim sejuk dan jarang berlaku pada musim panas.

Dalam perkembangan sama, status kewarganegaraan mereka yang terkorban dan cedera masih belum diketahui setakat ini.

Pasukan penyelamat menggunakan tali untuk turun ke tepi gaung bagi menyelamatkan mang­sa yang terperangkap.

Mangsa yang mengalami kecederaan serius dibawa oleh helikopter ke hospital di Cosenza.