Menurut jurucakap Pi­hak Berkuasa Penerba­ngan Awam Filipina (CAAP), Eric Apolonio, pesawat Piper 23 Apache yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan Lite Air Express itu, baru sahaja berlepas di bandar Plaridel sebelum ia terlibat dalam nahas.

Ketika kejadian, pesawat terbabit membawa enam orang penumpang, termasuk dua juruterbang dan dikatakan dalam perjalanan ke Laoag, di barat laut Luzon.

Ekoran kejadian itu, semua pesawat syarikat penerbangan tersebut diarahkan membatalkan pe­nerbangan sementara siasatan dijalankan.

“Siasatan menunjukkan pesawat itu berlepas di Lapangan Terbang Plaridel sebelum terhempas di kawasan kediaman tempatan,” kata jurucakap polis, Ketua Supritendan Filipina, John Bulalacao menerusi kiriman pesanan ringkas.

Sementara itu, Ketua Polis Plaridel, Julio Lizardo berkata, angka kematian berkemungkinan mening­kat berikutan anggota pe­nyelamat masih lagi menjalankan kerja-kerja mencari mangsa di sebalik timbunan serpihan rumah.

“Kami masih mencari mangsa di bawah runtuhan rumah. Berkemungkinan ramai lagi yang mati,” katanya kepada AFP.

Walau bagaimanapun, pegawai yang terbabit enggan menyatakan punca nahas berkenaan. – AFP/REUTERS