Keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan daripada 86 peratus pengundi yang dikira setakat ini 62 peratus menyokong Perlembagaan baharu itu.

Pembangkang mendakwa pungutan suara itu akan mengukuhkan kuasa tentera dan meningkatkan lagi perpecahan di negara ini.

Jumlah pengundi yang turun mengundi sangat rendah hanya 24 juta daripada lebih 50 juta pe­ngundi berdaftar di Thailand.

Tentera berkata, Perlembagaan baharu itu bertujuan membanteras rasuah politik dan membawa kestabilan di negara ini.

Sementara itu, 10 kejadian letupan dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di selatan negara ini, terutama di Narathiwat dan Yala, hari ini.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin berkata, kejadian itu berlaku antara pukul 7.30 hingga 8 malam ini, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Serangan bom itu menyasarkan tiang-tiang elektrik hingga menyebabkan beberapa kawasan bergelap dan mengalami gangguan komunikasi,” katanya kepada pemberita.

Pattanawut berkata, kawasan yang terjejas teruk akibat insiden itu di Narathiwat ialah Sungai Golok, Ranget, Bacho, Chok Airong, Yimgo, Takbai, Chanek, Rusak, Waeng dan Muang.

Menurut Pattanawut, satu le­tupan juga dilaporkan berlaku di Yaman, dalam wilayah Yala, pada masa yang hampir sama.

Kelmarin, polis melaporkan enam letupan berlaku di selatan Thailand yang dilihat sebagai bantahan terhadap pungutan suara itu yang diadakan hari ini. – AFP/BERNAMA