Sejak bulan lepas, hampir 50,000 warga Rohingnya membanjiri Bangladesh untuk mendapatkan perlindungan sekali gus menyebabkan dunia sema­kin ragu-ragu dengan kenyataan ke­rajaan Myanmar yang mahu membawa mereka pulang.

Rakhine telah hampir kosong kerana rata-rata rakyatnya sudah melarikan diri dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Akhbar Global New Light Myan­mar melaporkan, hampir 10,000 etnik minoriti Islam ini sudah sampai di Bangladesh.

Kumpulan tersebut mula me­ninggalkan kampung halaman mereka sejak Selasa lalu kerana mendakwa tidak selamat untuk menetap di kawasan yang sema­kin lengang itu terutama selepas kebanyakan ahli keluarga mereka melarikan diri ke Bangladesh.

Lebih separuh daripada kumpulan etnik itu berkumpul di pantai berhampiran perkampungan Letphwekya dan Kwunthpin sebelum ke negara jiran itu.

Laporan itu turut menyebut, para pegawai kerajaan cuba memberi jaminan keselamatan kepada etnik Rohingya jika terus berada di Myanmar namun mereka dikatakan ‘masih mahu ke Bangladesh atas kemahuan sendiri’.

Penduduk kampung mula ke­ku­rangan makanan manakala ketakutan di kawasan majoriti mula menular dengan pelbagai laporan ancaman kematian.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Bangladesh telah mengerahkan polis di kem pelarian yang semakin padat dengan pelarian kerana menerima maklumat berhubung dakwaan kumpulan militan aktif merekrut ahlinya.

Pihak berkuasa di Bangladesh yang ketika ini bergelut dengan masalah militan tidak mahu kehadiran masyarakat etnik Rohing­nya menimbulkan isu baharu.