Menurut pangkalan data pengesan keganasan di Yemen, konflik bermula sejak Januari 2016 itu mengorbankan kira-kira 70,000 orang setakat ini.

Lapor Al Jazeera, angka tersebut dikeluarkan oleh Projek Data Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED) yang merekodkan 3,155 serangan secara langsung menyasarkan penduduk, mengakibatkan kematian lebih 7,000 orang awam.

ACLED dalam satu kenyataan memberitahu, pertempuran maut yang berterusan berlaku di kawasan pentadbiran utama seperti Taiz dan Hajjah.

“Namun, jumlah kematian dilihat menurun tahun ini ha­sil daripada proses keamanan yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Kata ACLED, tentera perikatan diketuai Arab Saudi bertanggungjawab kepada ang­ka kematian awam tertinggi, lebih 4,800 orang sejak 2016 manakala pemberontak Houthi membunuh 1,300 orang.

Pertempuran dan kemele­setan ekonomi turut memburukkan krisis kemanusiaan di Yemen dengan 14 juta daripada 29 juta penduduk berdepan masalah kebuluran.

Dalam pada itu, jumlah kematian berkurangan di Hodeidah setelah kerajaan dan pemberontak Houthi bersetuju menandatangani gencatan senjata susulan rundingan di Sweden, Disember lalu.

Kedua-dua pihak turut bersetuju mengarahkan tentera mereka meninggalkan bandar pelabuhan itu.

PBB mengesahkan, kira-kira 100 orang awam sama ada terbunuh atau cedera pada setiap minggu di Yemen pada 2018 dengan sebahagian besar korban adalah kanak-kanak.– AGENSI