Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, negara itu sedang dalam persiapan untuk menerima pelarian-pelarian berkenaan yang diambil dari beberapa buah kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta disemak oleh agensi keselamatan dan perisikan AS.

“Jumlah pelarian kali ini adalah enam kali ganda berbanding yang dibawa masuk tahun lalu. Kita berbangga menyatakan AS adalah penyumbang terbesar bagi bantuan kemanusiaan tetapi masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis makan malam sempena meraikan Aidilfitri bagi ma­syarakat Islam AS di sini semalam.

Kerry dijangka mengadakan lawatan ke Eropah termasuk pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin khususnya dalam menggesa Rusia untuk turut sama menamatkan konflik di Syria.

Tambah Kerry, krisis kemanusiaan di Syria disifatkan paling buruk sejak Perang Dunia Kedua dan lebih 4.8 juta orang telah melarikan diri dari negara tersebut.

AS sebelum ini dikritik pelbagai pihak kerana terlalu perlahan menyalurkan bantuan kepada mangsa konflik di Syria.

Kesemua 10,000 orang pela­rian tersebut dibenarkan masuk sebelum 30 September ini dan dipilih dalam kalangan balu, warga tua dan orang kurang upaya (OKU). – AFP