Pasir jerlus itu juga menyebabkan banyak bangunan runtuh.

Berdasarkan Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), pasir jerlus atau li­quefaction merupakan satu fenomena yang menyaksikan tanah mempunyai ciri seperti air akibat gegaran kuat berlaku ketika gempa bumi.

Pasir jerlus berlaku apabila gempa meningkatkan tekanan air dalam tanah yang tepu menyebabkan ikatan partikel tanah atau pasir menjadi longgar menjadikan tanah berpasir lembut seperti berair.

Di kawasan kejiranan Palu iaitu Balaroa, kira-kira 1,700 rumah ditelan bumi kerana pasir jerlus, kata agensi penyelamat kebangsaan.

Beberapa imej satelit di daerah Petobo iaitu sebelah selatan Lapangan Terbang Palu menunjukkan satu lagi kawasan perbandaran menyaksikan bangunan ranap.

Jurucakap Badan Pengurusan Nasional Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho berkata, apabila gempa berlaku, lapisan bawah permukaan bumi menjadi berlumpur dan mudah jerlus.

“Kompleks perumahan di Petobo kebanyakannya seperti tenggelam di dalam tanah. Kami anggarkan 744 buah rumah di sana,” kata beliau.

Sementara itu, fenomena pasir jerlus sering berlaku di kawasan tambakan terletak hampir dengan laut atau sungai.

Di timur bandar Urayasu di Jepun yang dibentuk daripada kerja-kerja tambakan, kira-kira 86 peratus kawasannya de­ngan pasir jerlus selepas berlaku gempa bumi kuat pada 2011.

Pihak berkuasa Jepun me­ngambil masa selama enam tahun untuk memperbaiki banyak kerosakan termasuk sistem pembentungan bawah tanah, kemudahan gas dan air di bandar tersebut.

Sementara itu, pakar tanah menyatakan bahawa pasir jerlus merupakan satu keadaan biasa berlaku terutamanya selepas gempa bumi kuat seperti di Christchurch, New Zealand pada 2010 dan 2011.