Kesemua mereka yang hanya berpakaian biasa dan tidak bersenjata, mengambil gambar dan mengecap jari di bangunan kerajaan di bandar Sultan Kudarat, selatan negara ini bagi memenuhi syarat untuk memiliki kad pengenalan pengundi.

“Kesemua mereka berminat untuk mengundi,” ujar jurucakap kumpulan MILF, Von al-Haq.

Katanya lagi, sesetengah daripada mereka merupakan pengundi buat kali pertama.

“Ini merupakan sebahagian daripada persiapan untuk memimpin kerajaan kami sendiri,” ujarnya yang merujuk kepada perjanjian Mac 2014 di mana MILF komited untuk menamatkan pemberontakan bersenjata yang meragut 120,000 nyawa di selatan negara ini.

Sebagai sebahagian perjanjian itu, MILF bersetuju melucutkan senjata dan Presiden Filipina, Benigno Aquino bakal membenarkan penubuhan wilayah autonomi Islam Bangsamoro.

Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Wilayah, Rey Sumalipao membe­ritahu AFP, dijangkakan kira-kira 1,500 anggota mendaftar hari ini bagi membolehkan mereka me­ngundi dalam pilihan raya umum dan pilihan raya tempatan.

Kumpulan MILF bertungkus lumus menuntut wilayah autonomi di pulau-pulau di selatan negara ini sejak tahun 1970-an. 
– AFP