Semasa negara-negara kaya menikmati gaya hidup lebih selesa dan tidak aktif, satu kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati, satu pertiga daripada wanita dan satu perempat lelaki di seluruh dunia berdepan ancaman penyakit pembawa maut seperti sakit jantung, diabetes dan kanser.

Masalah itu boleh dielakkan melainkan mereka meningkatkan aktiviti fizikal masing-masing.

Menurut kajian mengenai tahap senaman dunia yang diterbitkan oleh The Lancet Global Health Journal, aktiviti fizikal yang tidak mencukupi menjadi faktor utama bagi penyakit tidak berjangkit.

“Ia juga mempunyai kesan negatif kepada kesihatan mental dan kualiti hidup,” kata kajian yang diterbitkan hari ini.

WHO sehubungan itu mencadangkan setiap orang dewasa melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman tahap seder­hana seperti berjalan laju, berenang atau berbasikal setiap minggu atau 75 minit aktiviti lasak seperti larian atau sukan berpasukan.

Kajian itu mengesan tahap aktivi­ti melibatkan 1.9 juta orang di 168 negara di seluruh dunia pada 2016.

Para penyelidik mendapati tiada peningkatan dalam tahap aktiviti fizikal sejak 2001, walaupun banyak inisiatif kesihatan awam menjelaskan mengenai manfaat bersenam.

Menurut data itu, lebih daripada satu perempat orang dewasa di dunia atau 1.4 bilion orang tidak cukup aktif.

“Kita sudah tentu tidak mela­kukannya dengan baik bagi menggalakkan orang ramai untuk bersenam.

“Secara asasnya kami tidak melihat sebarang kemajuan,” kata ketua kajian itu, Regina Guthold.

Penulis kajian turut mendedahkan beberapa kecenderu­ngan yang membimbangkan, ter­masuk perbezaan ketara da­lam kadar latihan antara negara miskin dan kaya, dan antara lelaki dan wanita. – AFP