Sepanjang festival yang menandakan kedatangan musim bunga dan tahun baru kalendar masyarakat Cina itu, pelbagai acara kebudayaan dianjurkan untuk menarik pengunjung dan juga pelancong.

Kawasan yang lebih popular dengan gelaran Petaling Street itu juga menjadi antara kawasan perniagaan yang masih mengekalkan persembahan tarian singa dan upacara tradisional.

Pada minggu pertama dan kedua selepas perayaan khususnya, pengunjung di sekitar China Town itu dapat melihat pelbagai aksi daripada kumpulan tarian singa dan naga yang bertandang dari pintu ke pintu kedai. 

Persembahan yang diiringi dengan paluan gendang bingit anak-anak muda itu tidak lain tidak bukan adalah sebagai usaha membawa ‘ong’ supaya lebih dimurahkan rezeki sepanjang tahun.

Selain menyediakan barang-barang untuk kegunaan majlis makan besar Yee sang, Jalan Petaling juga menjadi lokasi ke-gemaran untuk mendapatkan limau Mandarin, peralatan sembahyang, pakaian, bunga api dan barang mainan. 

Selain kemeriahan yang berpusat di Jalan Petaling, laluan-laluan seperti Jalan Sultan, Jalan Panggung, Jalan Hang Lekir dan Jalan Tun HS Lee yang terletak berhampiran juga tidak kurang meriahnya.

Pada perasmian Festival Tahun Baharu Cina Petaling Street 2019 Ahad lalu, ribuan pengunjung membanjiri pekarangan Tokong Guan Di di Jalan Tun HS Lee yang dimeriahkan pelbagai acara.

Antara persembahan sepanjang festival tiga hari yang menghidupkan semula suasana lorong perniagaan Cina sekitar tahun 1950-an itu adalah tarian singa, tarian naga, persembahan kustom, lukisan tradisional di atas kain rentang dan gerai makanan.

Pada perasmian program yang julung kali diadakan itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun mencadangkan tapak warisan bersejarah itu dijadikan persinggahan wajib pelancong khususnya menje-lang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Selain menjadi kawasan tumpuan pelancong, Jalan Pe-taling juga merupakan salah satu tempat bersejarah yang membuktikan masyarakat Ci­na bertapak di Tanah Melayu sejak lebih 200 tahun lalu.

“Sambutan Tahun Baharu Cina di Malaysia lain daripada yang lain kerana disambut oleh masyarakat pelbagai kaum. 

“Ia turut menyerlahkan budaya berbilang kaum di negara ini sekali gus meningkatkan bilangan pelancong asing ke negara ini khususnya di ibu kota,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee berkata, festival itu diharap dapat meningkatkan kadar pelancong asing ke Jalan Peta-ling sekali gus menggalakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu.