Ahli Lembaganya, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, hasrat membina sebuah pusat serba lengkap pertama seumpamanya di negeri itu amat menepati keperluan semasa dan memanfaatkan penghidap autisme di negeri-negeri di Utara untuk mendapat rawatan, seterusnya membina masa depan lebih cerah.

Beliau berkata, kerjasama dijalin YTSP dengan UniMAP sejak dua tahun lalu  mewujudkan Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) yang menelan kos RM500,000 dikutip hasil sumbangan pelbagai pihak prihatin.

"Pusat Autism A-HEART UniMAP kini merancang luaskan lagi keberkesanan fungsinya melalui pembinaan sebuah pusat dilengkapi kemudahan rawatan dan khidmat nasihat bagi membantu golongan memerlukan khususnya penghidap Autisme, keluarga mereka serta masyarakat awam supaya lebih memahami keperluan berkaitannya.

"Untuk tujuan itu, YTSP mensasarkan kira-kira RM6 juta sumbangan dana dikumpul dalam tiga tahun seterusnya membela nasib kebajikan penghidap Autisme," katanya pada sidang akhbar pelancaran Mengumpul Dana A-Heart di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; wakil Autism Buddies, Puan Sri Akmal Abdul Salam serta Pengasas dan Pengerusi Acts One Group Inc., Serena Chiam.

Pada majlis sama Acts One Group Inc. turut mengumumkan kesediaannya menyumbang kepada dana itu melalui penjualan dua buah karya seni lukisan ulung bersasaskan benang emas.

"Kami yakin serta percaya sumbangan demi kebaikan masyarakat ini adalah budaya perlu diamal bagi membantu mereka memerlukan. Selain lelongan koleksi barangan, pihak penganjur dan YTSP turut merancang majlis makan malam Gold A-Heart Fundraising bagi Pusat Autisme A-HEART UniMAP pada 19 Oktober di Kuala Lumpur," kata Serena.

YTSP dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail dan Pusat Autism A-Heart UniMAP pula dinaungi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. - UTUSAN ONLINE.