Ahli Jawatankuasa Pekema, Datuk SM Zulkifli SM Amin berkata, menerusi program itu pihaknya menganjurkan pelbagai aktiviti amal dan kemasyarakatan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Selain program membawa anak-anak yatim membeli baju raya, Pekema turut mengedar makanan untuk gelandangan dan berbuka puasa bersama golongan asnaf,” katanya selepas Program Ihya Ramadan Baju Raya di Pasar Raya Besar Mydin di sini hari ini.

Seramai 140 anak yatim dari daerah ini dan Jelebu dibawa membeli-belah keperluan Hari Raya Aidilfitri dengan setiap orang menerima peruntukan sebanyak RM150.

Beliau yang juga Presiden Kelab Motosikal Pekema berkata, program itu telah diadakan di beberapa lokasi antaranya, Subang dan Seemenyih di Selangor dan Butterworth di Pulau Pinang melibatkan kira-kira 500 anak yatim.

“Program ini bertujuan membolehkan anak-anak ini merasai sendiri suasana persiapan menjelang hari raya yang mana mereka boleh memilih sendiri pakaian raya seperti baju dan kasut mengikut cita rasa masing-masing.

Beliau memberitahu, program baju raya itu telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dan maklum balas yang diterima menunjukkan anak-anak yatim tersebut lebih gembira kerana mendapat peluang meraikan kedatang hari raya seperti orang lain. - UTUSAN ONLINE