Melalui program yang dige­rakkan oleh pengurusan kanan Kumpulan Utusan itu, anak-anak tahfiz seramai 80 orang itu menarik nafas lega apabila menerima kunjungan istimewa daripada Pengarah Utusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.

Lawatan termasuk sumba­ngan buah tangan berupa barang keperluan dapur dan wang tunai yang dihulurkan sempena lawatan tersebut sedikit seba­nyak menceriakan warga maahad berkenaan.

Menurut Mohd. Noordin, yayasan berusaha mengenalpasti dan mendekati pihak yang memerlukan bantuan baik daripada individu mahupun kumpulan seperti maahad tersebut.

“Setelah melakukan lawatan dan melihat keadaan maahad ini kita berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan untuk membantu anak-anak tahfiz ini agar mereka dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selesa.

“Saya difahamkan maahad ini tidak mendapat sebarang peruntukan daripada mana-mana pihak sebaliknya mengharap ihsan daripada mereka yang sudi membantu. Sedikit bantuan yang dihulurkan hari ini diharap­kan dapat menceriakan anak-anak tahfiz ini,” katanya ketika melawat tahfiz berkenaan di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A Ganesan dan Pengarah Eksekutif Utusan Jobhouse Sdn. Bhd., Datuk Sobri Ahmad.

Tambah Mohd. Noordin, yayasan menyokong usaha pihak pengurusan tahfiz berkenaan yang gigih membangunkan pusat pengajian agama tersebut agar ramai golongan penghafal al-Quran dilahirkan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, menurut pengetua maahad tersebut, Shuzaimee Aidy Samsudin, pihaknya berbesar hati dengan kunjungan dan sumbangan Yayasan Kumpulan Utusan memandangkan peruntukan pusat pengajian agama itu bergantung sepenuhnya daripada ihsan orang ramai.

“Maahad ini beroperasi dengan dana yang diusahakan kami sendiri. Oleh itu kunjungan dan sumbangan daripada yayasan ini amat bermakna. Kami memerlukan sumbangan untuk menaik taraf kemudahan premis di situ bagi keselesaan pelajar mendalami pengajian al-Quran dan pelbagai cabang ilmu Islam.

“Masih banyak prasarana yang perlu dinaik taraf termasuk memerlukan sebuah van atau bas untuk pengangkutan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu membantu masyarakat yang memerlukan boleh menghulurkan bantuan itu kepada Tabung Utusan Prihatin atas nama Yayasan Kumpulan Utusan di nombor akaun 14283010000572 (Bank Islam).