Pengerusi Yayasan Kepong, Datuk Seri Rizuan Abd. Hamid berkata, program #semaibakti merupakan acara tahunan sejak 10 tahun lau dengan objektif membantu golongan sasar selain meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

“Setiap pelajar diberikan bantuan sebanyak RM150 seorang meliputi beg sekolah, peralatan persekolahan dan baucar membeli keperluan persekolahan.

“Saya berharap bantuan ini dapat memberi suntikan motivasi kepada anak-anak supaya terus semangat bersekolah walaupun datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Semai Bakti Yayasan Kepong, di sini semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan, namun hanya 200 orang yang dikenal pasti layak serta menepati syarat seperti kurang kemampuan, golongan asnaf dan anak-anak yatim.

Dalam majlis sama, Yayasan Kepong turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Nor Marissa Alia Ahmad Lokman sebagai penajaan untuk sukan luncur ais selepas atlet itu layak ke Sukan SEA 2017.

“Ini adalah salah satu motivasi untuknya supaya terus berusaha dan berjaya mengharumkan nama negara,” katanya.