SEORANG murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Springhill, Negeri Sembilan diambil ukuran badan sebelum menerima uniform sekolah sumbangan Yayasan Hasanah, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari berkata, menerusi program tersebut pihaknya menyumbang kelengkapan sekolah bernilai RM800,000 kepada pelajar-pelajar di 19 buah kawasan di seluruh negara.

“Objektif utama program ini adalah untuk membantu meri­ngankan beban keluarga menyediakan peralatan sekolah yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Kami juga berharap usaha ini mampu mencetuskan impak positif bagi meningkatkan motivasi pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Shahira berkata, Yayasan Hasanah iaitu sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) giat menyokong prog­ram berimpak sosial yang ditumpukan kepada golongan B40 di negara ini sejak tahun 2006 de­ngan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Secara kolektif, Khazanah dan Yayasan Hasanah telah memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 pelajar daripada 918 buah sekolah di seluruh negara menerusi pelbagai program peningkatan pencapaian pendidikan sejak ditubuhkan pada 2006,” katanya.

Shahira berkata, masyarakat India daripada golongan B40 juga tidak pernah diabaikan dalam misi berkenaan dan turut dibantu menerusi pelbagai aspek termasuk program transformasi holistik bagi belia beri­siko yang kurang kecenderu­ngan akademik menerusi Yayasan MySkills bagi meningkatkan pres­tasi akademik pelajar di pe­ringkat sekolah rendah dan menengah.