Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dana itu turut digunakan untuk program motivasi, membiayai yuran, membeli kelengkapan persekolahan seper­ti pakaian dan kasut serta bantuan pembelajaran yang disalurkan terus kepada sekolah-sekolah terlibat.

“Bagi bantuan individu, kita akan mendapatkan data pelajar kurang berkemampuan daripada pihak sekolah seterusnya meng­hantar wakil yayasan untuk menyiasat latar belakang ke­luarga­nya serta bantuan yang di­perlukan.

“Selepas siasatan dijalankan, jawatankuasa yayasan akan mengadakan perbincangan bagi membolehkan bantuan diberikan kepada pelajar terbabit jika bersesuaian,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis penyerahan bantuan kelengkapan pembelajaran di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang Baru 1 di sini, kelmarin.

Dalam majlis tersebut, yayasan itu menyerahkan 230 set kerusi dan meja untuk kegunaan murid-murid sekolah tersebut.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Datuk Liew Siong Sing.

Jelas Lam Thye, sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, yayasan itu telah menyalurkan bantuan pendidikan kira-kira RM330,000 kepada beberapa sekolah rendah dan menengah di lapan buah nege­ri.

“Bantuan diagihkan sama rata kepada pelajar dan sekolah yang memerlukan kerana yayasan ti­dak pernah menjadikan isu kaum sebagai alasan untuk membuat tapisan asalkan mereka menepati kriteria yang ditetapkan,” katanya.