Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sejak ditubuhkan pada 2014, yayasan tersebut te­lah menyumbang lebih 2,500 set kerusi dan meja untuk kegunaan pelajar serta murid sekolah yang memerlukan bantuan.

“Yayasan percaya pendidikan yang baik bermula daripada fasiliti yang mampu untuk menukarkan kehidupan seseorang ke arah lebih baik. Ini adalah sebab utama kenapa yayasan fokus untuk menyediakan kemudahan pembelajaran kepada sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan,” katanya dalam majlis penyerahan set meja dan kerusi di SJKC Sin Ming Puchong, dekat sini.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, yayasan berkenaan bersedia membantu sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang mereka.

“Di mana sahaja permintaan bagi mendapatkan kemudahan sekolah-sekolah di sekitar Selangor, yayasan ini pasti akan segera bertindak menghulurkan bantuan menerusi Program Bantuan Pelajar Eco World (SAP) yang memperuntukkan bantuan kewangan kepada pelajar serta murid yang kurang mampu.

“Saya juga membuat lawatan mengejut seperti berkunjung ke rumah-rumah keluarga yang memerlukan bantuan untuk melihat sama ada keluarga itu senang atau susah. Jika senang saya, membatalkan bantuan tersebut tetapi jika susah, saya akan menolong mereka,” katanya.

Setakat ini yayasan itu telah membantu kira-kira 3,000 pelajar serta murid sekolah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor dan Sabah dengan peruntukan sebanyak RM5 juta setiap tahun.