Program bantuan dan sumbangan itu bukan sahaja berjaya meringankan beban golongan memerlukan malah menjadi landasan memupuk kerjasama antara Yapeim dengan pelbagai institusi di seluruh negara.

Pengerusi Yapeim, Tan Sri Othman Mustapa berkata, sejak dimulakan pada 2016, program itu berjaya membantu pelajar dan ibu bapa yang memerlukan hasil kerjasama daripada Jabatan Pendidikan negeri dan daerah di semua 14 buah negeri.

Menurutnya, setakat ini sejumlah RM6.7 juta diperuntukkan melibatkan lebih 65,000 penerima daripada pelbagai kelompok khususnya anak yatim dan fakir miskin.

“Untuk hari ini, sejumlah RM120,000 diperuntukkan bagi membantu 1,000 anak yatim dan 500 waris termasuk guru dan penjaga terpilih.

“Setiap penerima mendapat RM100 tunai dan RM20 barangan keperluan untuk mereka turut sama merasai kemeriahan Ramadan,” katanya dalam ucapan perasmian program Inspirasi Ramadan Yapeim 1439H Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Selain bantuan, warga istimewa itu turut diraikan dalam majlis berbuka puasa yang menghidangkan pelbagai menu makanan tradisi dan masakan Arab. - UTUSAN ONLINE