Derma berjumlah RM230,000 yang disampaikan itu adalah hasil sumbangan peribadi Ismail Sabri sendiri serta derma daripada warga kementerian berkenaan serta agensi-agensi di bawah kementerian tersebut.

Sumbangan itu diagihkan kepada 43 penerima terdiri daripada waris mangsa yang terlibat sama ada yang meninggal dunia, cedera serta yang terselamat dan mengalami trauma berikutan tragedi tersebut.

Sumbangan khas juga disampaikan bagi tujuan pembangunan pusat tahfiz berkenaan yang me­ngalami kerosakan teruk akibat tragedi tersebut.

Menurut Ismail Sabri, sumba­ngan itu adalah bagi memenuhi komitmen yang telah dinyatakannya sebelum ini iaitu untuk me­ngumpulkan dana bagi disampaikan kepada mangsa tragedi dan pusat tahfiz berkenaan.

“Saya memang kenal mereka, malah kami pernah berbuka puasa bersama-sama, majlis hari ini adalah (untuk menyampaikan sumbangan) seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini semasa melawat tapak kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

“Kita sampaikan bantuan ini hasil sumbangan daripada semua kakitangan KKLW serta agensi-agensi, jabatan-jabatan dan anak-anak syarikat di bawah kemente­rian ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, Timbalan Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Ustaz Roslan Awang Ali serta penyelaras waris-waris mangsa tragedi kebakaran berkenaan, Datin Hartini Abdul Ghani.

Dalam majlis berkenaan, Ismail Sabri turut melahirkan rasa simpati dengan meluangkan masa bersama waris-waris mang­sa yang masih lagi bersedih de­ngan tragedi tersebut.

Pada 14 September lalu, berlaku tragedi yang menyayat hati seluruh rak­yat Malaysia apabila Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat Hujung, Kuala Lumpur terbakar mengakibatkan seramai 21 pelajar tahfiz dan dua tenaga pengajarnya terkorban.

Ismail Sabri merupakan antara pemimpin negara yang segera melawat mangsa di tapak kejadian dan mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada hari kejadian, malah beliau turut berkongsi ke­sedihan terhadap tragedi tersebut.

Pusat tahfiz berkenaan amat dekat di hatinya kerana sebelum ini beliau pernah meraikan pelajar-pelajar tahfiz terbabit dalam majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan lalu.

Sumbangan hari ini merupakan inisiatif untuk meringankan beban para waris mangsa yang kehila­ngan orang tersayang serta menzahirkan simpati atas tragedi yang menimpa.

Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati tragedi berkenaan berpunca daripada perbuatan khia­nat dan seramai lima remaja lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 12 hingga 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di atas tuduhan membunuh dan memasukkan dadah ke dalam badan.