Seripah Awang Bakar, 71, berkata, tiada sebarang kesakitan yang dialaminya meskipun kaki kirinya itu bengkak dan kebiruan, sebelum doktor mengesahkan bahawa dia mengalami jangkitan kuman.

“Dua tahun lalu, makcik mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan doktor tidak dapat mengesahkan penyakit apa yang makcik alami.

“Tapi kaki makcik terus membengkak dan kebiruan, lalu doktor terpaksa memotong kaki makcik untuk mengelak kuman daripada terus merebak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chengal Lempong, di sini baru-baru ini.

Warga emas berkenaan menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mazlan Mat Rashid dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyatakat (JKM) negeri, Zulkhairi Zainol Abidin.

Seripah berkata, sejak dia tiada keupayaan untuk bergerak, anaknya Rohani Rani, 39, yang terpaksa menjaga segala keperluan dirinya.

Katanya, walaupun anaknya itu hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM25 sehari, namun Rohani tidak pernah merasakan kehadirannya sebagai satu bebanan.

“Makcik sebolehnya-bolehnya tidak mahu menyusahkan Rohani sebab dia ibu tunggal dan perlu menjaga seorang anak yang masih bersekolah, tetapi Rohani tetap menjaga saya walaupun serba kekurangan,” katanya.

Warga emas berkenaan bersyu­kur kepada Allah SWT kerana ada pihak yang sudi tampil membantu kesusahan keluarganya termasuk pihak JKM.

“Sebelum ini makcik tidak tahu ada bantuan untuk orang macam makcik ini, kalau dapat bantuan JKM ringanlah sikit beban Rohani,” katanya.