Fatimah Ahmad, 78, berkata, dua anaknya, Mohd. Saiful Bahari Uyup, 45, dan Mohd. Nasaruddin Uyup, 43, mengalami masalah pembelajaran sejak kecil lagi.

“Namun sejak empat tahun lalu, Mohd. Saiful Bahari tidak boleh berjalan akibat mengalami masalah pada bahagian kaki dan semakin hari keadaannya semakin teruk.

“Setahun selepas itu dia hanya terlantar dan tidak mampu menguruskan keperluannya. Saya lakukannya seorang diri selepas suami saya meninggal dunia, lima tahun lalu,” katanya.

Dia yang tinggal bersama-sama dua anaknya itu ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim yang turut menghulurkan sumbangan duit raya di rumahnya di sini, hari ini.

Menurutnya, Mohd. Nasaru­ddin pula walaupun mampu me­­nguruskan sebahagian keperlu­an diri sendiri, namun terpaksa dipapah untuk bergerak kerana mengalami masalah kaki.

Jelas Fatimah, selain hasil pen­dapatan daripada Felda, ke­dua-dua anaknya mendapat bantuan sebanyak RM150 seorang daripada Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM).

Tambahnya, kedatangan Mohd. Azahar bersama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Labis yang menghulurkan bantuan sedikit sebanyak meringankan beban me­reka selain mampu mengubat kesunyiannya yang tidak dapat keluar rumah kerana mahu menjaga dua anaknya itu.

“Ada kalanya sampai se­mi­nggu Mohd. Saiful Bahari tidak dimandikan kerana saya tidak mampu untuk mendukungnya ke bilik air.

“Dia hanya akan mandi sewaktu kakaknya yang tinggal di Labis balik menjenguk kami untuk membantu mengemas rumah seminggu sekali,” katanya.