Mek Nab Yaacob, 76, berkata, segala urusan harian anaknya, Mohd. Tharmizi Sulaiman, 37, hanya bergantung kepada bantuan keluarga termasuk makan, minum dan mandi.

"Dia boleh bercakap cuma lambat tetapi tak boleh bangun. Makan, minum kena suap dan mandi kena orang yang tolong mandikan.

"Anak-anaklah yang banyak membantu sama ada dari segi sokongan dan kewangan kerana makcik tak ada pendapatan," katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Binjai, dekat sini hari ini.

Terdahulu keluarga terbabit menerima kunjungan rombongan Skuad Taawun Parlimen Kubang Kerian yang diketuai pengerusinya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff menghulur sumbangan berbentuk barangan keperluan harian seperti beras dan gula.

Katanya, Mohd. Tharmizi ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan namun tidak mencukupi untuk menanggung kos perubatan dan keperluan harian anaknya itu.

Mek Nab memberitahu, Mohd. Tharmizi perlu melakukan rawatan susulan setiap dua atau tiga bulan sekali di hospital.

"Dan kosnya akan bertambah sekiranya ia memerlukan bantuan perkhidmatan ambulan untuk hantar dan ambil dia ke hospital.

"Keperluan utama harian dia pula ialah susu dan lampin pakai buang," katanya. - UTUSAN ONLINE