Minah Awang, 71, berkata, rumah yang didiami sejak lebih 30 tahun itu berkemungkinan roboh pada bila-bila masa sahaja.

Bagaimanapun disebabkan ke­sempitan hidup, dia bersama seorang cucu perempuan serta dua cicit terpaksa berteduh di rumah tersebut walaupun dindingnya berlubang dan lantai kayu reput.

“Dinding rumah semakin me­reput. Saya tidak ada duit untuk baiki. Kami tidak ada pilihan walau nak runtuh sekalipun kami kena duduk di sini juga.

“Saya juga sedih apabila rumah akan basah setiap kali hujan kerana bumbung bocor,” katanya di sini hari ini.

Minah yang menghidap pe­nyakit lelah dan darah tinggi ber­kata, walaupun mempu­nyai tiga anak, dia tidak pernah me­minta pertolongan daripada anak-anaknya kerana memahami keadaan mereka yang turut hidup dalam kemiskinan.

“Saya nampak kesusahan anak-anak kerana mereka sudah berkeluarga tetapi saya bersyukur sebab mereka ambil berat soal makan dan minum,” katanya.

Tambah Minah, dia hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meneruskan hidup.

Katanya, dia melalui kehidupan yang sukar suaminya meninggal dunia lebih 20 tahun lalu.

“Saya berharap terdapat individu dan pemimpin yang sudi membantu membaiki rumah usang itu.

“Saya tak minta lebih tetapi cukuplah kalau dapat baik pulih rumah serta tukar dinding rumah yang usang dan bumbung berlubang itu,” katanya.