Hussain Abdul Rahman, 84, dan Kamsiah Adam, 66, melangsungkan pernikahan di pusat pendidikan tersebut hari ini setelah mendapat cadangan daripada Mohd. Kazim supaya Hussain mencari jodoh.

Kamsiah yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur berkata, dia bersetuju berkahwin kerana terpikat dengan peribadi Hussain.

Menurutnya, dia juga mahu menjaga bekas Imam Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama 12 tahun itu yang mengalami sakit lutut.

Menurutnya, dengan sijil da­lam bidang fisioterapi yang diperoleh ketika belajar di Australia, Kamsiah yakin boleh menjaga suaminya.

“Kami merancang untuk terus tinggal di pusat pendidikan ini mendalami ilmu agama dan menjalankan ibadah bersama-sama,” katanya di sini hari ini.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh adik Kamsiah iaitu Hamzah Adam dengan disaksikan Timbalan Pendaftar Ipoh, Mohd. Azarudin Mohamad Saarani.

Sementara itu, Hussain yang juga bekas Penyelia Sekolah-Sekolah Agama Johor berkata, Mohd. Kazim mencadangkan supaya dia mencari pasangan hidup supaya dapat menjalani ibadah di pusat pendidikan itu dengan lebih tenang.

“Saya bersetuju dengan cadangan tersebut dan mencari jodoh dalam kalangan mereka yang belajar agama di sini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Kazim memberitahu, pasangan tersebut merupakan pasangan keenam yang bertemu jodoh di pusat pendidikan tersebut dan Hussain merupakan pelajar pa­ling senior di pusat berkenaan.

“Beliau merupakan pelajar paling senior dari segi usianya dan kami bersyukur dapat menyatukan dua individu dan dua buah keluarga di sini,” katanya.