Sepupunya, Ahmed Tajmul Abdul Hamid, 36, berkata, lelaki berusia 29 tahun itu hilang selepas keluar dari Apartmen Perdana Villa, Jalan Sungai Jati Klang, Selangor pada hari berkenaan.

Jelasnya, kejadian itu disedari oleh adiknya Ata Ul Momin, 25, kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum memaklumkan kepada ahli keluarganya.

“Selepas menyedari kehilangannya, saya bersama ahli keluarga telah mencarinya dengan bantuan jiran berdekatan namun tiada sebarang maklumat yang diperoleh.

“Kami juga telah mencari Ata Ul Mohsin di kawasan sekitar sehingga ke bandar Klang tetapi usaha kami menemui jalan buntu,” katanya di ibu pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahmed Tajmul memaklumkan, berikutan kehilangan sepupunya itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Klang pada 28 Disember lalu bagi memohon pihak berkuasa untuk mengesan lelaki itu.

Tambahnya, ahli keluarganya juga sehingga kini masih menjalankan usaha mencari lelaki berkenaan yang dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

“Saya merayu kepada sesiapa yang terlihat Ata Ul Mohsin supaya dapat menghubungi saya di talian 016-609 4038 atau Ghulam Mustafa di talian 016-320 1674,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE.