Tidak ketinggalan membuat persiapan tersebut adalah satu keluarga dari Amerika Syarikat (AS) yang akan menyambut perayaan itu buat pertama kalinya bersama sanak-saudara di Sarawak.

Roshia Johari, 39, berkata, keluarganya sangat teruja untuk menyambut Aidilfitri dan akan menggayakan pakaian tradisional Melayu di pagi Syawal nanti.

“Ibu saya merupakan warga AS manakala bapa pula berasal dari Sarawak. Setelah ibu bapa berpisah, saya dibesarkan dan tinggal bersama ibu di AS namun tetap mempunyai hubungan baik dengan bapa.

“Oleh kerana tidak pernah merasai suasana Aidilfitri, pada tahun ini kami membuat keputusan untuk menyambutnya di kediaman bapa di Sarawak,” katanya ketika ditemui Jalan Masjid India di sini hari ini.

Jelasnya, suami serta empat anak lelakinya membeli baju Melayu serta samping, manakala dia dan anak perempuan akan menggayakan baju kurung pada 1 Syawal nanti.

“Kami pernah makan masakan Melayu dan pastinya saya dan keluarga meminati rendang, nasi lemak serta roti canai,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Ri­chard Mc Ginnic, 39, berkata, dia tertarik dengan rekaan baju Me­layu kerana baginya pakaian tersebut agak unik dan menggambarkan budaya Melayu.

“Penjual memaklumkan kini terdapat baju Melayu dalam rekaan lebih moden iaitu mengikut bentuk badan namun saya lebih meminati rekaan baju Melayu asal.

“Rekaan lama lebih rare, jauh lebih bergaya daripada rekaan moden. Saya teruja untuk me­nyambut Aidilfitri dan tidak sabar untuk menunjukkan baju Melayu kepada rakan-rakan di AS,” katanya.