ARNIE BAH LEMAN melahirkan anak pertama di atas pengusung di Kampung Pahong, Pos Bihai, Gua Musang, kelmarin.

Arnie Bah Leman, 30, yang tinggal di Kampung Pahong, Pos Bihai di sini selamat melahirkan anak dengan bantuan bidan kampung.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Su­bang, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada pukul 1 petang yang meminta bantuan untuk membawa pesa­kit wanita yang hendak bersalin ke hospital.

Menurutnya, pesawat Agusta 109 E telah berlepas dari Pangkalan Udara Su­bang pada pukul 3.30 petang dan tiba di Kampung Pahong satu jam kemudian.

Ujarnya, ketika pihaknya sampai, pesakit sudah bersedia untuk menaiki helikopter dan diangkat ke atas pengusung.

“Bagaimanapun belum sempat menaiki helikopter, pesakit telah bersalin. Situasi cemas itu turut disaksikan penduduk kampung dan bidan Orang Asli yang membantu menyambut bayi pesakit.

“Suami pesakit, Iman Along, 35, menemani isterinya sepanjang proses kelahiran bayi mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Farhan memberitahu, anggota­nya turut menunggu selama satu jam setengah di kampung itu bagi memastikan keadaan ibu dan bayi selamat sebelum berlepas pulang ke pangkalan.

Tambahnya, itu merupakan kejadian pertama sepanjang mereka mengendalikan penerbangan ihsan bagi membantu pesakit Orang Asli di kawasan pedalaman.